‘Kakigori’ atau air batu campur (ABC) versi Jepun memiliki tarikan terutama pada gaya persembahan berwarna-warni yang sangat menyelerakan. Seperti takoyaki dan alusmitai, kakigori antara makanan ringan popular yang enak dinikmati pada musim panas di Jepun.

ABC Jepun itu boleh dinikmati di kafe Kakigori, Taman Paramount, Petaling Jaya, Selangor menampilkan 11 menu yang pelbagai perisa termasuk durian yang menjadi kegilaan rakyat Malaysia.

 Pengurus Kakigori, Heng Xin Min berkata, idea membuka kafe ini bermula daripada tiga pemilik yang menggemari pencuci mulut dari negara matahari terbit itu sebelum beroperasi sejak September 2016.

“Kakigori bererti ais kisar berperisa. Kakigori paling popular adalah Uji Matcha (serbuk teh hijau Uji).

“Kita menggunakan serbuk teh hijau berkualiti tinggi dan organik diimport dari Uji, Kyoto, Jepun yang sememangnya popular sebagai lokasi pengeluaran teh hijau terkenal dunia.

“Serbuk teh hijau Uji mempunyai warna yang pekat, pahit dan aroma tersendiri. Setiap kakigori yang dihidangkan tidak menggunakan pewarna mahupun perisa tiruan sebaliknya ia pewarna dan perisa asli hasil daripada pati buahan yang kita sediakan,” katanya sambil menegaskan kakigori juga tidak menggunakan bahan beralkohol.

Menurutnya, ais yang dikisar mempunyai tekstur sangat lembut, gebu dan ia juga mudah menyerap perisa sekali gus enak dimakan begitu saja.

Katanya, setiap kakigori mempunyai tiga lapisan perisa di atas ais yang dikisar. Manakala sirap kinako antara perisa utama bagi setiap hidangan kakigori.

Sirap kinako diperbuat daripada serbuk kacang soya yang dipanggang sebelum diadun menjadi sirap dan digabungkan bersama perisa terpilih. Bagi kakigori Uji Matcha, lapisan pertama dan kedua mengandungi sirap kinako bersama kacang merah diikuti lapisan ketiga, ‘warabi’ mochi (kuih beras).

Kakigori durian antara menu bermusim diperkenalkan kakigori bagi memenuhi selera tempatan. Uniknya, kakigori ini menggunakan sirap coklat bersama puding durian yang kemudian dihiasi ‘espuma’ (sejenis krim diperbuat daripada buah yang dimasak sehingga menjadi seperti jem) durian.

Kakigori turut menyajikan kakigori Elderflower dan Elderberry yang sinonim dengan cita rasa masyarakat Eropah. Memiliki rasa sedikit masam dan beraroma wangi, kakigori ini mempunyai peminat tersendiri.

Terbaru, kakigori Chiba Sweet Potato dihiasi bijan hitam, kacang walnut dan puding diperbuat daripada ubi kentang manis diimport dari Chiba. Selain kakigori, kafe berkonsepkan layan diri berdekorasi minimum ini turut menawarkan pencuci mulut lain antaranya kek gulung Matcha, kek gulung Houjika dan Zen Zai, sejenis bubur teh hijau bersusu bersama kacang merah dan mochi.

Sumber: Harian Metro

Facebook Comments
(Visited 37 times, 1 visits today)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *